Elak diri jadi ‘guru semberono’
Nov 24th, 2009 by razzyy
KUALA LUMPUR – Guru-guru perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan dalam profesion pendidikan supaya mereka menjadi cemerlang dan bukan golongan ‘guru semberono’.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kewujudan ‘guru semberono’ akan menjejaskan proses pembangunan modal insan di negara ini.
“Saya yakin guru-guru di negara ini komited serta gigih dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik tetapi cabaran-cabaran yang mendatang serta pelbagai tekanan yang muncul mungkin melemahkan semangat mereka sekiranya mereka tidak mempersiapkan diri.
“Saya tidak mahu tekanan-tekanan yang timbul ini akhirnya mewujudkan budaya ‘guru semberono’,” katanya pada Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali Ketujuh Tahun 2009 di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datuk Misrah Ibrahim.
Mohd. Puad memberitahu, negara masih kekurangan hampir 5,000 guru cemerlang ekoran ramai guru tidak berusaha mengisi kekosongan itu dan kekurangan itu akan terus wujud sekiranya masih ada golongan ‘guru semberono’.
Sumber : Kosmo




Blog kamek:
Randau Ruai

Assalamualaikum,
Apa yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri tersebut ada kebenarannya. Para pendidik perlu bersedia setiap masa dalam menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan yang mendatang. Cabaran-cabaran tersebut bukan sahaja yang berbentuk positif malah ada juga yang berbentuk negatif. Bagi pendidik, semua cabaran tersebut (positif negatif) perlulah dilihat sebagai ujian Allah bagi mengukur sejauh mana komitmen iman kita dalam memikul amanah yang telah diberikan. Jika kita mampu melepasi cabaran-cabaran itu dengan penuh sabar dalam melaksanakan amanah tersebut, pasti kejayaan dunia dan akhirat akan kita kecapi (insya Allah). Firman Allah (maksud), “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (23:1)..dan mereka yang menjaga amanah dan janji (23:8)”
Jika ini sebagai pegangan para pendidik (khususnya yang beriman), pasti tidak akan wujud guru ’semberono’ yang dimaksudkan itu. Wallahualam.