Renungan untuk kita bersama
Sep 30th, 2009 by razzyy
1. Ketika kita sembayang, lahirnya kita berdiri, rukuk dan sujud dengan mulut terkumat-kamit memuji dan berdoa kepada Allah s.w.t, tetapi hati kita (ingatan dan fikiran) di mana? Adakah juga mengadap Allah s.w.t, khusyuk dan tawadhuk rasa rendah dan hina diri dengan penuh pengabdian dan harapan serta malu dan takut pada Allah s.w.t? Ataukah hati terbang menerawang ke merata-rata tempat dengan membelakangkan Allah s.w.t Yang Perkasa yang sedang disembah?
2. Pernahkah kita rasa indah bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah s.w.t dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada-Nya, merasa rendah dan hina diri, menyesali dosa dan kelalaian, mengingati-Nya sambil berazam untuk membanyakkan amal bakti kepada-Nya?
3. Pernahkah pula kita menghitung dosa-dosa lahir dan batin sambil menangis kerana “Istighfar” kita terlalu sedikit dibandingkan dengan dosa kita yang menyebabkan kita nanti jadi bahan api neraka?
4. Apabila Allah s.w.t merasakan sakit pada kita atau pada orang lain yang kita kasihi (walau apa jenisnya), dapatkah kita tenangkan hati kita dengan rasa kesabaran dan kesedaran bahawa sakit ialah kifarah dosa atau sebagai darjat dan pangkat di sisi Allah s.w.t?
5. Kalau kita miskin, dapatkah kita rasa bahagia dengan kemiskinan itu dan rasa lapang kerana tidak payah lagi mentadbir nikmat Allah s.w.t hingga tidak mahu mengadu-ngadu dan meminta pada manusia kecuali pada Allah s.w.t?
6. Kalau ada orang mencerca kita, bolehkah kita merasa senang dan tenang lalu kita diamkan sahaja (tanpa rasa sakit dan susah hati dan dendam) bahkan kita maafkan orang itu sambil doakan kebaikkan untuknya sebab merasakan orang itu telah memberi pahala pada kita melalui cercaan itu?
7. Di waktu kita rasa bersalah dengan seseorang, datangkah rasa takutkan kemurkaan Allah s.w.t pada kita dan sanggupkah kita minta maaf sambil mengaku kesalahan kita?
8. Di waktu mendapat nikmat, terasakah di hati ianya sebagai pemberian Allah s.w.t lalu timbul rasa terima kasih (syukur) pada Allah s.w.t dan rasa takut kalau-kalau ianya tidak dapat digunakan kerana Allah s.w.t berazam untuk menggunakan nikmat itu untuk Allah s.w.t jua?
9. Kalau orang lain mendapat kesenangan dan kejayaan, dapatkah kita rasa gembira dan turut bersyukur dan harapkan kekalnya nikmat itu bersamanya tanpa hasad dengki dan sakit hati?
10. Setiap kali orang bersalah, lahirkah rasa kasihan kita padanya, di samping ingin membetulkannya tanpa menghina dan mengumpatnya?
11. Di waktu apa-apa yang kita ingini dan cita-citakan tidak kita perolehi, dapatkah kita tenangkan perasaan kita dengan rasa insaf akan kelemahan dan kekurangan diri sebagai hamba Allah s.w.t yang hina dina yang menggantungkan hidup mati dan rezeki sepenuhnya pada Allah s.w.t?
12. Ketika menerima takdir atau rezeki yang tidak sesuai dengan kehendak kita, dapatkah kita rasa redhakan ia sebagai satu pemberian Allah s.w.t yang patut untuk kita?
13. Selalukah hati kita sentiasa ingat pada mati yang boleh sahaja mendatangi kita sebentar lagi kerana memang boleh Allah s.w.t berbuat begitu cuma kalau tidak dimatikan itu kerana Allah s.w.t mahukan kita mencuba lagi untuk mencari jalan mendekatkan diri pada-Nya?

Derma Untuk Pembinaan Masjid Tok Guru,Tanah Merah Kelantan.


Blog kamek:
Randau Ruai
