Pergaulan,Aurat dan Solat(Part 1)
Jul 1st, 2008 by razzyy
“Pergaulan,Aurat dan Solat “…rangkaian kata ini memang tidak asing lagi bagi warga Surau al-Hidayah,Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang…setiap masa dan ketika,mereka diingatkan dengan tiga perkara itu.Aurat telah saya bicarakan dalam entri bulan Jun,anda boleh baca perihal aurat dalam artikel yang disediakan.
Pada entri bulan Julai ini,saya akan tekankan berkaitan dengan solat.
Sabda Rasulullah SAW:
{ الصلاة عماد الدين ومن أقامها فقد أقام الدين ومن تركها فقد ترك الدين }
Maksudnya:Sembahyang itu tiang agama; dan barang siapa mendirikan dia (ya’ni mendirikan atau mengerjakan sembahyang), maka sesungguhnya dia telah mendirikan agama; dan barang siapa meninggalkan dia (ya’ni meninggalkan sembahyang) maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agamanya(.)
Sabda Rasulullah lagi:
Sesungguhnya akan runtuhlah (putus) tali simpulan Islam satu demi satu. Maka setiap kali putus tali yang satu, manusia akan bergantung (berpegang) dengan tali berikutnya. Maka yang pertama runtuh ialah hukum Islam (perundangan Islam) dan terakhir ialah solat.
(HR Ahmad)
Sesungguhnya, benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. itu jelas kita rasai sekarang. Permulaanya dengan keruntuhan hukum Islam ataupun perundangan Islam pada zaman Kamal Attartuk dan sekarang ini kita menuju keruntuhan hukum-hukum syarak yang lainnya, selangkah demi selangkah dan yang terakhirnya ialah SOLAT.
Umat Islam sekarang sedang merungkai ikatan Islam yang terakhir iaitu solat. Fenomena tidak bersembahyang bukan lagi sesuatu yang asing. Bukan sahaja golongan muda dan remaja yang tidak bersembahyang bahkan orang dewasa juga ramai yang tidak solat. Mendirikan sembahyang berhubung kait dengan biah ( persekitaran ), masyarakat dan negara.
Suasana yang ada pada hari ini tidak mendorong umat Islam mendirikan sembahyang. Seruan dan ajakan kepada bersembahyang terlalu lemah berbanding godaan dan bisikkan supaya mengabaikan sembahyang. Walau pun seruan azan berkumandang di mana-mana di seluruh pelusuk negara, tetapi umat Islam yang menyahut dan ke masjid terlalu sedikit.
Masa yang sepatutnya diluang untuk ibadat, keluarga dan pendidikan telah diragut oleh pekerjaan bagi memenuhi keperluan hidup. Realiti masyarakat bandar keluar ke tempat kerja sebelum subuh dan pulang selepas isya adalah lumrah. Manakala masyarakat kampung dan pekan kecil terpaksa mempunyai dua pekerjaan bagi kecukupan hidup. Pelajar –pelajar juga menghambat waktu. Pagi ke sekolah, waktu petang pula kelas tambahan dan malamnya bergelut dengan tution kerana memenuhi keinginan ibubapa dan pihak sekolah untuk mencapai kelulusan cemerlang dalam peperiksaan.Saya pernah bertanya kepada beberapa orang pelajar saya tentang pelaksanaan solat lima waktu ini,jawapannya amat menghampakan saya.Ramai di antara mereka yang “terpaksa”meninggalkan solat kerana penggunaan masa yang kurang teratur.Maklum balas dari kawan-kawan saya juga tidak jauh bezanya bila membicarakan tentang solat pelajar masing-masing.
Walaupun masa mendirikan solat sangat pendek, lebih kurang lima hingga sepuluh minit sahaja, tetapi apabila seluruh perhatian, akal, hati dan perasaan ditumpukan kepada perkara lain maka umat Islam akan lalai daripada solat. Oleh itu,tepuk dada tanya imam..muhasabah diri masing-masing untuk memperbaiki ketakwaan kepada Allah,Tuhan sekelian alam.
Derma Untuk Pembinaan Masjid Tok Guru,Tanah Merah Kelantan.

Blog kamek:
Randau Ruai