Matlamat dan Hikmah Puasa
Sep 25th, 2008 by razzyy
KEJAYAAN atau kepuasan seseorang pelajar selepas menempuhi onak duri dan cabaran semasa alam persekolahan ialah apabila berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan kerana itulah matlamat utama seseorang pelajar yang belajar bersungguh-sungguh dan mematuhi semua akhlak sebagai seorang pelajar.Begitu juga dengan kejayaan seseorang dalam melaksanakan sesuatu ibadat banyak bergantung kepada tercapainya matlamat dan hikmah yang disasarkan di sebalik persyariatan ibadat itu di samping tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Dan sempena bulan Ramadhan al-Mubarak ini saya akan membicarakan tentang matlamat dan hikmah puasa yang disyariatkan kepada kita semua.
Matlamat paling utama di sebalik persyariatan puasa kepada umat Islam ialah menjana ketakwaan yang tulus ke hadrat Ilahi sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu,semoga kamu bertaqwa”
Takwa menurut pengertian al-Quran dan sunnah bermaksud menunaikan segala amalan yang difardukan Allah dan meninggalkan segala yang diharamkan-Nya.
Tafsiran takwa yang lebih menarik diberikan oleh Saidina Ali bin Abi Talib yang mendefinisikan takwa sebagai takutkan kepada Allah semata-mata, beramal dan beristiqamah dengan segala perintah-Nya; reda dan berasa cukup dengan keadaan yang sedikit serta bersiap sedia pada setiap masa untuk menghadapi hari kematian. Rasulullah pernah bertanya kepada Abu Hurairah :” Pernahkah engkau bertemu jalan yang berduri ? Bagaimana tindakanmu pada waktu itu ?” Sahabat tersebut menjawab “Apabila aku melihat duri. Aku menghindar ke tempat yang tidak berduri atau aku langkahi, atau aku mundur”. Rasulullah pun bersabda :”Itulah taqwa”.
Taqwa merupakan ank kunci pintu syurga. Dalam pengertian lain, jika boleh diumpamakan taqwa itu sebagi roh ataupun perasaan takut ataupun lebih tepat, menyedari dan beringat dengan kehadiran Allah yang sentiasa maha memerhatikan kita dalam segenap keadaan,tidur mahupun jaga. Perasaan dan kesedaran inilah yang mampu menghantar seseorang kepada syurga berkat segala amal ikhlasnya. Inilah hakikatnya. Mahu tidak mahu kita kena tunduk kepadanya. Tunduk inilah taqwa. Taqwa sahajalah yang akan membawa sesiapa jua ke syurga. Inilah hubungan antara taqwa dengan Syurga dan Neraka.
Diharapkan roh ketakwaan pada setiap Muslim pada Ramadan ini tidak akan luput dan hilang begitu saja dengan berlalunya bulan penuh berkat ini. Malah, cahaya takwa ini diharapkan terus menyinari sahsiah dan perwatakan Muslim pada setiap keadaan dan ketika, pada setiap bulan dan sepanjang tahun.Kebahagiaan dan kejayaan sebenarnya di sisi Allah bukan diukur melalui kekayaan, timbunan harta benda, pangkat dan keturunan. Sebaliknya, yang menjadi neraca piawaian di sisi Allah ialah ketakwaannya. Hanya Muslim bertakwa iaitu mencapai kelima-lima matlamat puasa dikurniakan Allah kejayaan dan kebahagiaan sejati pada akhirat.
Antara matlamat lain ialah supaya setiap Muslim bersyukur kepada Allah. Ini dijelaskan daripada penghujung ayat 185, surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Muslim yang sebenar ialah seorang yang sentiasa bersyukur kepada Allah di atas segala kurniaan nikmat-Nya. Antara nikmat Allah kepada orang Islam ialah nikmat iman dan Islam serta kesihatan hingga dapat melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna. Paling utama ialah nikmat al-Quran yang juga di turunkan pada Ramadan. Al-Quran adalah wahyu Allah yang disampaikan kepada pesuruh-Nya berupa hidayah, petunjuk, nilai dan ajaran yang mengangkat manusia sebagai makhluk terbaik dan istimewa di sisi Allah.
Justeru, dengan limpahan nikmat yang tidak terhitung banyaknya ini, maka setiap Muslim sewajibnya menyatakan kesyukuran yang tidak berbelah bahagi ke hadrat Ilahi yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani .
Semoga mutu puasa kita pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan seterusnya dapat mencapai matlamat utama puasa iaitu taqwa kepada Allah SWT.




Blog kamek:
Randau Ruai
