Ikhlaskah kita dalam beribadat
Nov 3rd, 2008 by razzyy
Pada artikel kali ini,aku ingin mengajak pembaca blog ini agar muhasabah diri dari segi ke’power’an dalam beribadah kepada Allah…adakah amalan kita seratus peratus hanya semata-mata beribadat kepada Allah atau ada niat tersembunyi dari amalan yang kita buat itu…maksud aku,adakah kita betul-betul ikhlas atau sebaliknya.Ikhlas ni lebih kurang pengertiannya ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia, seperti meminta pujian,mengejar keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia,lari dari kejian atau lain-lain lagi.Senang cerita,melakukan amalan semata-mata penuh keikhlasan kerana Allah. Ikhlas adalah merupakan rahsia kita kepada rahsia Allah. Hanya Allah sahaja yang tahu hambanya betul-betul ikhlas atau sebaliknya….
Untuk mendapat hati yg ikhlas perlu banyak mujahadah dalam beramal dan perlukan ilmu, pendek kata perlu Istiqomah dlm beramal.
Firman Allah swt di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :
“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”
Setiap amalan yang bercampur dengan perasaan riak bukanlah suatu amalan yang diterima Allah. Malah, perkara itu ibarat menipu diri sendiri, mengotorkan jiwa dan mensia-siakan amalan. Perkara ini berdasarkan perumpamaan yang disebut oleh Rasulullah bahawa amalan yang tidak ikhlas akan membatalkan kualiti perbuatan itu seumpama api yang memakan kayu api, tiada yang tinggal, melainkan bara api dan debu-debu.Rasulullah menyatakan bahawa riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud: “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”
Riak membawa maksud beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Hal ini seperti solat kerana disuruh, menunaikan haji untuk dilihat dan dinilai manusia dan menghulurkan sedekah agar disebut oleh orang ramai.Dalam satu hadis qudsi ada menceritakan hal riak ini,lebih kurang maksudnya: “Barang siapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan dalam keadaan bersekutu kerana Ku dan kerana yang selain daripada Ku, maka akan aku tinggalkan (tidak menilai) perbuatan itu bersama-sama sekutunya.”Sebagaimana munajat Rabiatul Adawiyah yg terkenal ” Jika ibadahku ini kerana takutkan nerakaMu maka masukkan lah aku kedlm nya, Jika ibadahku ini kerana hendakkan syurgaMU maka jgn Kau masukkan aku kedlmnya. Dan jika ibadahku ini kerana cintaku padaMU maka jgnlah Engkau tinggalkan aku”
Mari kita sama-sama perhatikan,bagaimana hebatnya amalan yang dilakukan dengan ikhlas,semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.Dari Abdullah Bin Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:
“Ketika 3 orang lelaki sedang berjalan, hujan telah turun lalu mereka memasuki sebuah gua untuk berlindung. Lalu sebuah batu besar telah menutupi pintu gua dan mereka terperangkap di dalamnya. Salah seorang antara mereka berkata: Renungilah sejenak tentang amal soleh yang telah kamu lakukan kepada ALLAH. Kemudian, mohonlah kepada ALLAH dengan amal soleh itu agar ALLAH menghilangkan kesusahan ini.
Seorang daripada mereka berkata: Ya ALLAH! Sesungguhnya, aku mempunyai ibu bapa yang sudah tua dan telah lanjut usianya. Aku juga mempunyai anak-anak yang masih kecil.Aku membantu mereka menjaga ternakan. Apabila pulang, aku memerah susu untuk mereka. Aku akan mendahulukan kedua-dua orang tuaku sebelum anakku sendiri.
Tetapi pada suatu hari aku terlewat pulang dan aku temui mereka berdua setelah malam melabuhkan tirainya. Ketika itu, aku mendapati mereka berdua telah tidur. Seperti biasa aku memerah susu lalu aku menunggu mereka jaga dari tidur berdekatan dengan kepala mereka. Aku juga tidak suka memberi anakku minum selagi mereka tidak meminum susu itu sedangkan anak-anakku menangis-nangis kelaparan di hujung kakiku hingga ke subuh.
Oleh kerana ENGKAU Mengetahui aku melakukan semua itu hanya mengharapkan keredhaan-MU, hilangkan kesusahan kami ini dengan membuka sedikit lubang agar kami dapat melihat langit. Lalu ALLAH membuka sedikit lubang hingga mereka mampu melihat langit.
Lelaki kedua berkata: Aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku amat menyayanginya sebagaimana seorang lelaki menaruh perasaan cinta kepada seorang perempuan. Aku menggodanya tetapi dia menolak hinggalah aku menawarkan 100 dinar lalu dia terpedaya dan aku berjaya mengadakan hubungan dengannya.
Tetapi di saat aku ingin mencabul maruahnya, dia telah berkata: Wahai hamba ALLAH! Bertakwalah kepada ALLAH dan jangan sesekali engkau ‘membuka cincin’ kecuali dengan cara yang betul. Lantas aku bangun. Oleh kerana ENGKAU Mengetahui aku melakukan semua itu hanya mengharapkan keredhaan-MU, hilangkan sedikit kesusahan kami ini lalu ALLAH membuka sedikit lubang lagi.
Lelaki ketiga berkata: Ya ALLAH! Sesungguhnya aku telah memberi upah kepada seorang lelaki agar menanam beras. Setelah selesai bekerja, dia berkata: berikan hak aku. Apabila aku ingin menyerahkan upahnya, dia menolak. Lalu aku laburkan upahnya itu hingga menghasilkan haiwan ternakan yang berupa lembu-lembu yang banyak dan anak-anaknya. Dia telah datang kembali kepadaku lalu berkata: Bertakwalah kepada ALLAH (seolah-olah dia meminta haknya).
Aku berkata: Pergilah kepada lembu-lembu dan anak-anaknya dan ambilah kesemuanya. Lantas dia berkata: Bertakwalah kepada ALLAH. Jangan mempermainkan aku. Jawabku: aku tidak mempermainkan engkau. Ambilah milikmu lalu diambilnya. Oleh kerana ENGKAU Mengetahui aku melakukan semua itu hanya mengharapkankeredhaan-MU, hilangkan sedikit kesusahan kami ini lalu ALLAH membuka lubang itu.”- (HR Bukhari dan Muslim)
Derma Untuk Pembinaan Masjid Tok Guru,Tanah Merah Kelantan.

Blog kamek:
Randau Ruai
Kadang2 tu ada jgk unsur2 tdk ikhlas dalam hati insan yang lemah ini…namun telah cuba sedaya mungkin untuk ikhlas kpd Allah…Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah…Amin.
sebab tu la kita mesti muhasabah sentiasa amalan kita untuk pastikan amalan kita ikhlas krn Allah.