Ahlan Ya Ramadhan
Sep 25th, 2008 by razzyy
Lady Bug Note From PagePlugins.com
Kita seringkali mendengar tazkirah-tazkirah yang mengatakan pada bulan Ramadhan yang mulia ni merupakan satu bulan yang akan mendidik umat Islam agar memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT dan memperbaiki diri dari sifat-sifat yang tidak baik.Dengan kata lain,bulan Ramadhan juga dikenali sebagai Madrasah Ramadhan.”Madrasah” dalam bahasa arab yang boleh la diertikan sebagai sekolah, intitusi pendidikan dan seumpamanya. Oleh itu Bulan Ramadhan yang diibaratkan seperti sebuah sekolah atau institusi pendidikan terunggul ini sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pelajarnya(umat Islam) dengan memantapkan lagi segala macam bentuk ilmu rohani dan jasmani agar apabila individu Muslim yang keluar nanti dari Madrasah Ramadhan ini kelak akan dapat menjadi individu Muslim yang lebih bermutu dan bernilai di sisi Allah s.w.t, Insya-Allah.Marilah kita sama-sama bermohon kepada Allah agar diberi kekuatan untuk menjadi pelajar cemerlang dan akhirnya mendapat sijil/ijazah hasil dari pengorbanan kita ini…Amin.
Antara beberapa amalan dalam memantapkan diri semasa berada di Madrasah Ramadhan ialah titikberatkan dalam ‘Tazkiyah Al-Nafs‘ atau proses penyucian jiwa atau hati nurani kita dari segala jenis penyakit hati yang bersarang di dalam tubuh manusia ini seperti hasad dengki,malas beribadat,panas baran,suka mengumpat orang dan sebagainya. Penyakit hati ini boleh mencacatkan kesempurnaan iman dan ibadat seseorang Muslim itu. Maka melalui proses ibadat puasa inilah dapat melahirkan sifat-sifat Mahmudah atau sifat terpuji seperti amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, sabar, takwa dan sebagainya.
Di samping itu juga kita amat dituntut untuk bersederhana di dalam bulan puasa terutama ketika hendak berbuka agar tidak berlaku sebarang pembaziran. Walaupun seharian ‘berlapar berdahaga’,belajar control diri dengan bijaksana…Ini menggambarkan bahawa ibadat puasa ini adalah bersifat sosial atau berunsur kemasyarakatan yang mana boleh menjana sifat perihatin Muslim terhadap nasib Umat Islam yang kurang bernasib baik atau berada di dalam kesusahan, tidak kira sama ada di Malaysia atau di negara-negara luar sana.
Selain yang dinyatakan di atas,perkara yang perlu dimantapkan juga sewaktu kita berada di dalam Madrasah Ramadhan ini antaranya :
1- Menjaga ibadat puasa dari sebarang kecacatan atau terbatal kerana kita lalai dan alpa dari memelihara setiap anggota tubuh kita.
2- Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan men’tadabbur’ setiap pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca itu. Bacalah walau sekadar 10 ayat sehari…tak dapat 10 ayat pun,bacalah setakat yang termampu..aku pernah mendengar penceramah berkata”kalau tak dapat semua perkara,jangan tinggal semua”….so,tak dapat banyak baca al-Quran,mungkin terlalu sibuk,jangan la sampai tak baca langsung,baca surah-surah pendek yang dah sedia dihafaz pun,kira okey.
3- Mengurangkan tidur pada siang hari di bulan Ramadhan ini.
4- Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah itu dapat menyucikan jiwa kita dari sifat mazmumah iaitu TAKBUR dan dapat menjadikan kita sentiasa sensitif sesama Umat Islam
5- Beriktikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir Ramadhan.
Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperolehi oleh semua umat muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah SAW telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadhan melalui satu khutbah baginda iaitu:
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefardhuan dan bangun pada malamnya adalah satu tambahan.
Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardhu di bulan yang lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”
Ingatlah,umat Islam yang tulen ialah umat Islam yang sentiasa merindui kehadiran Ramadhan dan mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat-kali ganda dari Allah s.w.t.Oleh itu,tepuk dada tanya iman….Selamat Berpuasa.
Derma Untuk Pembinaan Masjid Tok Guru,Tanah Merah Kelantan.

Blog kamek:
Randau Ruai